Hari ini saya ingin menceritakan pengalaman saya membawa anak-anak saya untuk belajar taranum dan kelas hafazan Al-Quran di Putrajaya.
Alhamdulillah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan kelas hafazan Al-Quran di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi. JAKIM juga ada mengadakan kelas hafazan di Masjid Putra Putrajaya atau lebih dikenali sebagai Masjid Pink. Selain itu, Masjid Putra juga turut mengadakan kelas taranum, iaitu kelas yang mengajar tatacara melakukan alunan Al-Quran dengan cara yang betul.
Kelas Taranum di Masjid Putrajaya (Masjid Pink)
Info Pendaftaran dan Langkah Awal
Saya mengetahui mengenai kelas-kelas ini melalui media sosial, terutamanya melalui Facebook Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Besi itu sendiri. Bagi kelas taranum, rupa-rupanya mereka telah mengadakan kelas ini sejak beberapa tahun yang lepas. Semasa saya melihat posting Masjid Putra mengenai kelas taranum ini, saya ingat kelas taranum ini sudah tidak lagi mengambil pelajar yang baharu. Saya terus WhatsApp nombor pegawai yang disediakan di posting itu dan bertanya mengenai status permohonan ke kelas taranum itu.
Alhamdulillah, pegawai yang menguruskan pendaftaran sangat membantu saya. Beliau memberitahu saya bahawa jika saya ingin menyertai kelas taranum ini, boleh terus walk-in ke Masjid Putrajaya setiap hari Ahad. Kemudian, pegawai ini memasukkan saya ke dalam satu grup WhatsApp khas bagi pelajar-pelajar taranum. Di dalam grup ini, terdapat pelbagai maklumat yang dikongsi oleh pihak pengurusan Masjid Putrajaya, ustaz, dan pelajar-pelajar lain. Sebarang maklumat mengenai kelas taranum akan dikongsikan di sini.
Jadual dan Suasana Kelas Taranum Masjid Putra Putrajaya
Setelah itu, saya terus membawa anak-anak saya iaitu dua orang untuk menyertai kelas taranum ini. Anak-anak saya mula menyertainya lebih kurang pada bulan Julai 2026 yang lepas. Alhamdulillah, mereka sangat seronok ketika menyertai kelas taranum ini. Kelas ini terbuka kepada semua peringkat umur, maksudnya sesiapa sahaja boleh menyertai kelas ini. Dan seperti yang saya katakan tadi, kelas ini diadakan setiap minggu pada hari Ahad bermula pada pukul 8 pagi atau 9 pagi. Kelas ini berlangsung selama 2 jam. Maklumat sama ada kelas akan bermula pada 8 pagi atau 9 pagi akan diberitahu oleh pegawai Masjid Putrajaya di dalam grup WhatsApp sehari sebelum kelas tersebut, biasanya pada hari Jumaat akan dimaklumkan.
Pegawai khas yang menguruskan pengurusan kelas taranum ini ialah Puan Suzanariah iaitu Pembantu Hal Ehwal Islam di Masjid Putra Putrajaya.
Tenaga Pengajar Tarannum: Ustaz Hasim bin Harun, Qari Terkenal Malaysia
Di dalam kelas itu, tenaga pengajarnya ialah Ustaz Hashim. Ustaz Hashim ialah bekas johan qari Selangor dan Negeri Sembilan pada tahun 1990-an. Saya cuba mencari maklumat lanjut mengenai Ustaz Hashim dan alhamdulillah, suaranya begitu sedap dan lunak sekali. Ada satu video yang menunjukkan Ustaz Hashim membaca Al-Quran di TV1, saya rasa pada tahun 80-an atau 90-an. Sudah agak berusia juga Ustaz Hashim ini, tetapi alhamdulillah semangat Ustaz Hashim sangat kuat. Beliau sering menghadiri kelas taranum untuk berkongsi ilmunya kepada para pelajar.
Dan jika beliau tidak dapat hadir, biasanya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Contohnya sewaktu Hari Raya Haji yang lepas, beliau tidak dapat menghadiri kelas selama dua minggu kerana harus menangani acara korban di negeri atau negara yang lain. Selain itu, dalam dua minggu di bulan September ini juga beliau tidak dapat datang ke kelas kerana terdapat acara besar di Masjid Putrajaya iaitu acara Festival Turath Kebangsaan 2026.
Ustaz Hasim bin Harun ialah bekas pensyarah di Institut Pendidkan Guru di Bangi. Bukan calang calang orangnya Ustaz Hasim ini. Sudah banyak pengalaman yang beliau lalui dan semua pengalaman ini dikongsikan untuk semua pelajar tarannumnya. Saya begitu bersyukur anak anak saya dapat belajar tarannum terus daripada beliau. Alhamdulillah.
Maklum Balas Anak Anak Berkenaan Kelas Tarannum
Para pelajar di kelas taranum juga sangat menyeronokkan. Seperti kata anak-anak saya, mereka teruja dengan kehadiran anak-anak saya kerana anak saya baru bersekolah di sekolah rendah dan mereka antara yang termuda di kelas itu. Saya bersyukur sekali kerana anak saya masih meminati bidang taranum Al-Quran. Biasalah budak-budak, pada awalnya mereka agak keberatan untuk ke kelas taranum. Setelah beberapa kelas, alhamdulillah mereka nampak teruja pula sekarang.
Kelas Hafazan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi)
Ujian Saringan dan Pendaftaran
Berkenaan dengan kelas hafazan pula di Masjid Besi, saya juga mengetahui tentang keberadaan kelas ini melalui posting di Masjid Besi itu sendiri. Setelah itu, saya e-mel kepada pegawai yang terlibat kerana di dalam poster itu tiada nombor WhatsApp, hanya e-mel sahaja yang diberikan. Di dalam e-mel itu, mereka menyatakan bahawa akan ada saringan sebelum dapat diterima untuk menyertai kelas hafazan.
Saringan itu seperti sebuah ujian di mana , kedua-dua anak saya hadir pada hari Sabtu pagi dan mereka akan diuji hafazan mereka. Saya tidak berapa mengetahui ayat atau surah apa yang diuji, tapi pastinya kemungkinan besar surah-surah daripada Juz ‘Amma atau Juz 30 kerana taraf pendidikan anak-anak saya masih di bangku sekolah rendah. Sehari sebelum ujian, saya mengulang kaji kembali surah-surah hafazan di Juz 30 bersama anak anak saya.
Tarikh ujian telah diketahui lebih awa tetapi saya tiba agak sedikit lewat. Setibanya saya di sana, saya terus mendaftarkan nama anak-anak saya di kaunter pendaftaran di bahagian laman utama masjid. Setelah itu, anak-anak saya diberikan nombor pendaftaran dan akan dipanggil mengikut nombor tersebut. Setelah menunggu hampir setengah ke satu jam, akhirnya nama anak-anak saya dipanggil. Alhamdulillah, mereka memberitahu bahawa mereka dapat menjawab dengan agak baik .Saya berdoa semoga mereka diberi peluang untuk mengikuti kelas hafazan tersebut kelak.
Yuran Komitmen dan Struktur Pengajaran Kelas Hafazan
Setelah hampir dua atau tiga minggu, saya mendapat e-mel menyatakan anak-anak saya lulus untuk menyertai kelas hafazan, alhamdulillah. Tetapi saya tidak perasan berkenaan mesej itu, jadi saya terlepas minggu pertama pendaftaran untuk kelas tersebut. Saya terus e-mel pegawai yang berkenaan dan mereka menyatakan bahawa saya boleh terus sahaja datang pada minggu seterusnya untuk sesi pendaftaran dan terus menghadiri kelas.
Untuk makluman anda semua, kelas hafazan di Masjid Besi diadakan pada hari Sabtu, pukul 9 pagi, setiap minggu. Jadi setibanya hari Sabtu itu, saya terus membawa anak-anak saya untuk pendaftaran. Bayaran yang dikenakan hanya RM50 sahaja untuk setiap pelajar, itu lebih kepada yuran dan komitmen sahaja dan itu sahaja bayaran yang dikenakan, tiada bayaran bulanan. Saya merasakan bahawa kebanyakan kos ditaja oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur sekali kerana sekurang-kurangnya anak-anak saya dapat menguatkan lagi apa yang mereka diajar oleh guru-guru atau ustaz ustazah yang bertauliah dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia di Masjid Besi ini. Alhamdulillah.
Sistem Halaqah di Kelas Hafazan
Di Masjid Besi, saya melihat nama-nama anak dibahagikan kepada halaqah-halaqah yang tersendiri. Halaqah bermaksud lingkungan dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Secara amnya, setiap halaqah mengandungi lebih kurang 7 ke 10 atau 11 pelajar. Alhamdulillah, halaqah kecil ini bagi saya sangat bagus sekali untuk menguatkan hafazan anak-anak. Kelas hafazan pula diadakan di Tingkat 1 Masjid Besi. Ia biasanya bermula daripada pukul 9 pagi hingga 11 pagi. Dan setelah kelas habis, para pelajar dijamu makanan secara percuma.
Ketika saya menjemput anak saya, saya melihat kadangkala ada makanan seperti nasi lemak, kadang-kadang nasi ayam butter, kadangkala mee dan pelbagai makanan lain disertai dengan air kotak dan juga beberapa jenis kuih dan buah. Alhamdulillah. Dan saya bertanya kepada anak saya, mereka kata mereka seronok belajar hafazan di Masjid Besi dan juga seronok kerana ada disediakan pelbagai makanan secara percuma.
Jika di Masjid Putrajaya tidak disediakan makanan, saya dapat memahaminya kerana kebanyakan yang menghadiri kelas taranum di Masjid Putrajaya ialah orang dewasa. Saya juga mengetahui bahawa di Masjid Putra juga ada mengadakan kelas hafazan. Saya baru mengetahuinya beberapa bulan lepas kerana semasa saya menghantar anak saya untuk kelas taranum, saya ternampak satu kumpulan pelajar-pelajar yang mungkin lebih kurang 20 ke 30 orang duduk di satu tempat di dalam Masjid Putrajaya untuk memperdengarkan bacaan hafazan mereka. Umur mereka lebih kurang pelajar dalam lingkungan sekolah rendah dan sekolah menengah. Dan ada sesetengah ustaznya pun saya kenali wajah mereka semasa di Masjid Besi sebelum ini, alhamdulillah.
Saya rasa orang Putrajaya sangat beruntung kerana pelbagai kegiatan atau kelas-kelas yang berunsur Islamik selalu diadakan di masjid-masjid di Putrajaya. Walaupun cuma ada setahu saya lebih kurang dua masjid sahaja di Putrajaya, tetapi pelbagai aktiviti yang dilakukan di masjid ini sangat-sangat bermanfaat sekali. Walaupun saya tinggal di luar Putrajaya, saya juga turut dapat merasakan kenikmatan kerana diberi peluang untuk menghantar anak saya ke kelas-kelas ini.
Semoga Allah kabulkan impian ini agar anak-anak saya dapat menguatkan bacaan Al-Quran mereka dan juga untuk membantu mereka di dalam peperiksaan. Kerana peperiksaan sekolah agama seperti UPKK atau PSRA di sekolah rendah agama, tahap satu atau dua juga ada ayat-ayat atau surah-surah yang wajib dihafaz. Dan mungkin dengan cara ini ia dapat membantu mereka.
Tidak dinafikan terdapat juga pelbagai kelas-kelas hafazan yang diadakan oleh pihak swasta yang mungkin lebih selesa atau kumpulan yang lebih kecil, tetapi tentu tahulah harus mengeluarkan bayaran atau dana bagi yang berkemampuan. Alhamdulillah, bagi yang tidak berkemampuan boleh mencuba untuk mendaftarkan anak-anak di kelas hafazan atau kelas taranum di Masjid Besi atau Masjid Pink di Putrajaya.
Insya-Allah, semoga artikel kali ini dapat membantu ibu bapa di luar sana untuk mengetahui tentang keberadaan kelas-kelas ini. Dan anda semua boleh bertanya langsung ke masjid yang berkenaan sama ada kelas ini masih lagi membuka pendaftaran untuk orang luar atau tidak. Insya-Allah, semoga bermanfaat!