Pada beberapa minggu yang lepas, saya berkesempatan untuk mengunjungi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau dikenali juga sebagai Masjid Negeri Selangor / Masjid Negeri Shah Alam atau Masjid Kubah Biru. Saya ke sini kerana membawa anak-anak saya untuk menyertai pertandingan sajak anjuran Masjid Negeri Shah Alam. Pemergian saya ke majlis ini mengimbau kembali kenangan pada hampir 30 tahun yang lepas ketika pertama kali saya melawat masjid ini.
Sejarah Ringkas Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Menurut pihak pengurusan MSSAAS, Masjid ini mula dibina pada tahun 1983 dan siap sepenuhnya pada tahun 1987. Masjid ini ialah masjid yang terbesar di Malaysia. Ia mempunyai senibina yang mengagumkan sekali kerana menggabungkan senibina Melayu dan Islam.
Kenangan 30 Tahun Lalu di Masjid Negeri Selangor
Masih segar di ingatan saya ketika itu. Saya berusia hampir lapan atau sembilan tahun ketika itu. Ayah saya membawa saya ke masjid ini. Saya tidak pasti atas sebab apa, tetapi apabila pertama kali saya melihat masjid ini, saya terasa begitu teruja sekali. Yang pertama, kerana saiz masjid ini sangat besar. Yang kedua, binaannya sangat menarik dengan kubah birunya yang menyerlah disertai menara-menara yang tinggi menjulang. Yang ketiga, saya sangat kagum dengan sistem air terutama di kawasan wuduk Masjid Negeri Shah Alam ini kerana bayangkan pada masa itu, iaitu 30 tahun lepas, apabila saya ingin mengambil air wuduk, saya hanya perlu menadahkan tangan dan air akan keluar secara automatik. Pada ketika itu saya berasa sangat kagum sekali.
Walhal zaman sekarang, tahun 2026, benda itu sudah biasa sahaja, tetapi benda sebegini berlaku pada 30 tahun yang lepas dan saya sangat-sangat teruja sekali. Saya difahamkan bahawa sekarang, sistem wudhu di dalam masjid ini sudah tidak menggunakan sistem auto keluar apabila kita menadah tangan kerana masalah sistem. Dan akhirnya, ia telah diubah ke sistem manual sepenuhnya. Apabila dapat ke sini buat kali kedua, pengalaman itu seolah-olah terimbas kembali ke minda saya dan pada kali ini saya membawa anak-anak saya pula.
Kenapa Saya Galakkan Anak Anak Saya Menyertai Pertandingan Sajak
Anak-anak saya selalu menyertai pelbagai pertandingan seperti pertandingan sajak, syair, bercerita dan pelbagai lagi. Antara tujuan utama saya menggalakkan anak-anak saya menyertai pertandingan sebegini ialah untuk membina keyakinan diri mereka. Selain itu, saya ingin mereka dapat melihat suasana pertandingan di tempat lain selain di sekolah.
Maksudnya, keluar dari lingkungan sekolah dan bertanding di peringkat lain, di kawasan yang berbeza untuk suasana yang berbeza dan sudah pastinya peserta yang berbeza dari pelbagai latar belakang. Dan saya ingin mereka berasa tercabar untuk membuktikan kehebatan mereka dan seperti yang saya katakan pada awal tadi, ia lebih kepada untuk memberikan keyakinan yang tinggi kepada mereka supaya mereka berani untuk ke hadapan apabila bertambah usia mereka kelak.
Saya tidak ingin mereka hanya fokus kepada pelajaran semata-mata. Saya sangat menggalakkan mereka menyertai pertandingan-pertandingan sebegini seperti Tilawah Al-Quran, Hafazan Al Quran, nasyid, bercerita, public speaking, STEM dan lain – lain lagi.
Aktiviti Aktiviti Lain yang Dianjurkan oleh Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Bagi pertandingan saja kali ini, pihak Masjid Negeri Shah Alam menganjurkan pelbagai pertandingan, antaranya pertandingan sajak bagi kanak-kanak dan remaja. Selain itu, terdapat juga pertandingan seperti pertandingan tulisan khat dan pertandingan mewarna. Mereka juga mengadakan pertandingan Fun Explorace. Itu lebih kepada pertandingan yang sesuai disertai oleh seisi keluarga.
Tema pertandingan kali ini ialah tema kemerdekaan. Tajuknya bebas, tetapi masa dihadkan kepada hanya lebih kurang 3 minit. Bagi saya, tempoh 3 minit ini tidak begitu sesuai kerana terlampau singkat. Mungkin untuk penambahbaikan, pihak penganjur bolehlah menambah tempoh masa persaingan sajak kepada mungkin 4 hingga 5 minit. Bagi saya itu lebih bersesuaian.
Persiapan Anak-Anak Sebelum Pertandingan Sajak
Anak – anak saya telah melakukan persiapan sebaik mungkin kerana sebagai pelajar kita sedia maklum bahawa mereka mempunyai banyak kesibukan seperti kerja rumah, kegiatan kokurikulum, persatuan, pertandingan STEM, peperiksaan dan bermacam-macam lagi. Jadi bagi saya, persiapan kali ini agak boleh dikatakan baik sedikitlah kerana memang waktu yang agak singkat.
Hampir setiap hari saya melatih anak saya. Props atau alat – alat tambahan untuk persembahan juga penting, tetapi markahnya bagi saya tidaklah begitu tinggi.
Perjalanan ke Masjid Negeri Shah Alam Seawal Pukul 7 Pagi
Setelah berlatih hampir beberapa hari, waktu pertandingan telah tiba. Pertandingan diadakan bermula seawal 7.00 pagi. Jadi mahu tidak mahu, kami sekeluarga bersiap awal. Selepas Subuh saja, kami terus bergerak ke Shah Alam.
Perjalanan mengambil masa hampir setengah jam. Setibanya kami di sana, kami sudah melihat beberapa keluarga sudah tiba lebih awal daripada kami. Alhamdulillah, banyak daripada mereka yang memakai busana-busana atau pakaian-pakaian yang sangat menarik, menggambarkan situasi-situasi di zaman Melayu masa dahulu.
Alhamdulillah, jalan tidak begitu sesak. Mungkin kerana masih awal pagi. Biasanya, hari Sabtu agak sesak juga, tetapi pada hari tersebut, Alhamdulillah jalan agak lancar. Setibanya kami di sana, kami terus mencari parkir di dalam Masjid Negeri Shah Alam.
Lokasinya memang terletak di tengah-tengah bandar Shah Alam, jadi agak mudah untuk mencari menggunakan aplikasi seperti Google Maps. Sesampainya saja kami di sana, sudah jelas kelihatan Masjid Kubah Biru dengan menara-menara yang tinggi menjulang.
Saya terus parkir dan saya mengarahkan anak-anak saya untuk bersiap dan bawa sekali barang – barang mereka ke dalam masjid secepat mungkin. Kalau ikut jadual, ketibaan peserta bermula pada pukul 7 pagi, pendaftaran dimulakan pada pukul 7.30 pagi dan seterusnya acara akan dimulakan pada lebih kurang pukul 8 pagi.
Alhamdulillah, pihak pentadbiran Masjid Negeri Shah Alam sangat-sangat bagus dari aspek pengurusan dimana penyediaan acara dan tempat dan sarapan juga disediakan. Terdapat pelbagai jenis juadah disediakan untuk para peserta dan juga ibu bapa yang turut serta.
Macam biasalah, apabila anak-anak saya ternampak makanan, kuih dan juga air-air minuman disediakan, mereka terus meluru ke arah makanan tersebut. Terdapat nasi lemak, kuih karipap, air sirap, air teh o, air teh tarik dan pelbagai jenis kuih – kuih lagi.
Proses Pendaftaran Pertandingan Sajak
Saya pula terus mendaftarkan anak saya di meja pendaftaran yang disediakan. Pertandingan sajak kali ini dikategorikan kepada tiga kategori. Pertama, kategori kanak-kanak 6 tahun dan ke bawah. Kedua, kategori kalau tak silap saya, kategori 9 ke 11 tahun. Yang ketiga ketika dewasa 12 ke 14 atau 15 tahun. Bagi kategori enam tahun ke bawah, ia dilaksanakan di bilik-bilik kuliah yang agak kecil. Sama juga bagi kategori 9 sehingga 12 tahun dimana ia juga dilaksanakan di biik kuliah yang kecil. Tetapi bagi peserta 12 tahun hingga 14 tahun, mereka mendeklamasikan sajak di pentas utama di Masjid Negeri Shah Alam itu.
Setelah mendaftarkan anak, kami diberikan nombor giliran masing-masing. Jadi saya terus mengarahkan anak saya ke tempat pertandingan mereka sendiri supaya mereka dapat bersedia, mungkin dapat mengulangkaji kembali hafazan sajak mereka dan sebagainya.
Bagi peserta kategori 1 dan 2 iaitu 6 tahun ke bawah dan 9 ke 11 tahun , mereka harus membawa muzik latar belakang sendiri.
Pengalaman Menggunakan Sistem Audio Bluetooth
Di mana mikrofon disediakan, tetapi bagi muzik latar belakang pula, ibu bapa peserta harus Bluetooth-kan audio ke pegawai yang bertugas di tempat masing-masing.
Untuk penambahbaikan, saya rasa sistem Bluetooth audio ni agak kurang sesuai kerana semasa persembahan anak saya, saya cuba untuk Bluetooth kan audio, tetapi tidak berjaya. Dan kemudian ada peserta, ibu bapa peserta lain yang tidak sengaja mem bluetoothkan audio mereka ke mikrofon petugas. Jadi suasana agak kacau-bilau kerana waktu itu anak saya sedang mendeklamasikan sajak, tetapi muziknya ialah muzik yang berlainan. Jadi agak kacau sedikitlah di situ.
Mungkin untuk pada masa akan datang, sebaiknya masjid boleh meminta ibu bapa untuk menghantar audio ke seorang pegawai yang khas untuk bahagian ini dan kemudian bila acara dimulakan, pegawai ini akan mengawal audio muzik latar belakang sajak dengan mudah dan lancar. Perkara ini dilakukan di dalam bilik kuliah bagi Kategori 1, di mana setelah pegawai di bilik berkenaan mengesan masalah yang dihadapi oleh sistem audio bluetooth, beliau terus meminta kepada ibu bapa peserta untuk Whatsapp muzik latar belakang terus ke beliau. Jadi, ini sangat memudahkan peserta.
Mungkin juga pihak masjid boleh menjadikan stand / tempat berdiri untuk mikrofon ataupun menggunakan jenis wireless microphone yang diletak di kepala atau disematkan di baju mereka dan mereka dapat bergaya ketika mendeklamasikan sajak kerana kebanyakan peserta ini mereka sudah berlatih sendiri. Jadi, jika ada wireless microphone yang tidak perlu dipegang, maka, mudahlah bagi peserta untuk menggayakan sajak mereka dengan mudah sekali. Itu antara penambahbaikan yang saya rasa wajar diberi pertimbangan oleh pihak Masjid Negeri Shah Alam.
Suasana Meriah Pertandingan Sajak di Masjid Negeri Shah Alam
Suasana di Masjid Negeri Shah Alam sangat meriah sekali. Sangat seronok sekali, sangat meriah dengan kehadiran pelbagai masyarakat dari pelbagai peringkat umur. Saya ada lihat datuk-datuk dan nenek – nenek peserta turut sama-sama memberi sokongan kepada cucu-cucu mereka. Sangat menginspirasikan sekali. Saya difahamkan yang pertandingan ini telah dilaksanakan sejak tahun lepas. Malangnya, saya baru mengetahui keberadaan pertandingan ini. Tetaapi Insya-Allah pada tahun akan datang saya akan pastikan anak anak saya menyertai pertandingan di Masjid Negeri Shah Alam ini.
Kemudahan yang Disediakan di MSSAAS
Fasiliti di dalam masjid ini sangat bagus sekali. Mereka juga ada menyediakan tempat air minuman water cooler jenama Coway. Bagi ibu bapa yang ingin mengisi air, boleh refill air mereka disini.
Mereka juga menyediakan tandas-tandas yang banyak sekali dan bagi saya sangat sesuai untuk peserta-peserta. Ruang pentas bagi acara mendeklamasikan sajak juga selesa. Ruang masjid yang besar juga sangat selesa untuk beribadah dan untuk sekadar berehat. Masjid ini juga mempunya ruang parkir yang sangat besar dimana boleh memuatkan beratus-ratus kereta. Pada pandangan saya keseluruhan fasiliti di masjid ini sangat-sangat bagus dan seni binanya juga sangat menarik. Walaupun masjid ini seudah berusia berpulu – puluh tahun, ia masih boleh dikatakan antara masjid yang menarik di Malaysia.
Bagi saya, anak anak saya telah melakukan yang terbaik walaupun hasil akhirnya hanya seorang sahaja yang mendapat keputusan saguhati iaitu anak saya yang berumur 6 tahun tetapi bagi keseluruhan saya rasa agak okey juga kan. Ini kan pertama kali mereka menyertai pertandingan di majlis Shah Alam. Insya-Allah pada tahun tahun mendatang, mereka akan memberikan cabaran yang lebih sengit lagi.
Setelah saya berjalan seketika di kawasan Masjid Negeri Shah Alam, saya teringat kenangan dahulu sewaktu ke sini. Ya, memang terdapat pelbagai perubahan tetapi suasananya tetap sama. Sangat menarik.
Selepas Pertandingan: Makan dan Pulang ke Rumah
Pada mulanya, kami bercadang untuk makan tengah hari atau bersarapan di luar daripada masjid Shah Alam, tetapi kerana pihak masjid sudah menyediakan pelbagai makanan, jadi kami membatalkan niat kami. Kami mengisi perut kami di dalam masjid. Alhamdulillah, terima kasih pihak Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Pada hari tersebut, bacaan IPU agak tinggi dan memang agak memeningkan sedikit. Jadi mahu tidak mahu, setelah pertandingan selesai lebih kurang pukul 1 tengah hari, kami terus bergegas pulang.
Tetapi kenangan di Masjid Negeri Shah Alam ini sangat mengujakan sekali dan pasti anak saya akan ingat sampai bila-bila. Bagi saya, pertandingan seperti ini sangat bagus sekali kerana biasanya kita melihat masjid ni sebagai tempat kegiatan agama sahaja. Tetapi sebenarnya pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan, bukan sahaja pertandingan seperti ini saja, malah pertandingan seperti bercerita dan pelbagai lagi boleh dilaksanakan. Mungkin bengkel-bengkel motivasi, bengkel-bengkel amali praktikal atau bengkel-bengkel latihan komputer, grafik dan sebagainya pun boleh dilaksanakan.
Masjid seharusnya menjadi pusat kegiatan masyarakat. Disinilah yang sepatutnya menjadi tempat di mana masyarakat dapat berkunjung dan beramah mesra serta mengikuti kursus – kursus yang dapat menambahkan ilmu dan skill mereka.
Dan saya sangat suka supaya pertandingan ini diadakan setiap tahun. Mungkin pada masa hadapan, pertandingan seperti public speaking dan deba boleh diadakan. Mungkin jugaboleh diadakan bengkel atau kursus seperti, kelas-kelas bahasa asing seperti mungkin bahasa Mandarin, bahasa Jepun, kelas dalam, kelas tarannum, kelas motivasi dan sebagainya. Bengkel menjahit atau memuat makanan juga boleh diusahakan supaya masyarakat dapat meningkatkan skill kehidupan mereka untuk menambah kualiti hidup mereka kelak.
Semoga pihak pentadbiran Majlis Negeri Shah Alam akan terus bersemangat melaksanakan pelbagai program yang berimpak tinggi bagi membantu kehidupan masyrakat sekitar Shah Alam khasnya dan masayrakat di negeri Selangor amnya. Insyaallah.
Assalamualaikum.