Hari ini saya ingin bercerita mengenai pengalaman saya membeli kaca mata di Sungei Wang, Kuala Lumpur. Saya mula memakai spek mata semasa berumur 13 tahun. Pada masa itu, saya tidak dapat melihat apa yang cikgu saya tulis di papan hitam. Kemudian cikgu saya mencadangkan saya membuat ujian mata di kedai kaca mata. Setelah membuat pemeriksaan penglihatan mata, pegawai di kedai spek mata itu memberitahu bahawa saya rabun jauh. Dia mencadangkan agar saya membuat kaca mata secepat mungkin, dan di situlah pertama kali saya memakai kaca mata.
Pada mulanya, saya hanya membuat spek di kawasan berdekatan rumah sahaja. Setelah berurusan di Plaza Imbi pada awal 2000 an, saya baru mengetahui bahawa terdapat kedai kaca mata di Sungei Wang. Apabila melihat harganya yang berpatutan dan hanya perlukan setengah jam sehingga ke sejam untuk siap, saya terus ke sini sahaja untuk sebarang urusan berkaitan dengan pembelian kaca mata.
Disitulah, pertama kali saya mengetahui bahawa bidang kerja optometris itu wujud. Optometris ialah pegawai yang akan meneliti mata kita dan mencadangkan spek jenis apa yang sesuai untuk penggunaan kita. Mereka belajar program itu di universiti seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia
Saya akui sewaktu mula-mula memakai kaca mata, saya berasa agak janggal sekali sebab saya tidak biasa memakai kaca mata. Tetapi setelah beberapa lama, rasa janggal itu hilang begitu sahaja dan saya tidak boleh hidup tanpa kaca mata. Kaca mata ini saya buat berpuluh-puluh tahun yang lepas dan biasanya saya akan ganti setiap 4 atau 5 tahun kerana sama ada kantanya pecah atau bingkai frame nya sudah patah!
Kenapa Saya Suka Membeli Kaca Mata di Sungei Wang
Setelah itu, saya sering ke Kuala Lumpur untuk berurusan di kawasan Plaza Imbi (sebelum itu belum ada Lowyat). Saya biasa pergi ke Plaza Imbi dan Sungei Wang. Di situlah saya baru mengetahui bahawa terdapat pelbagai kedai spek di Sungei Wang dan saya agak terkejut dengan harganya yang bagi saya agak murah.
Harga Kaca Mata di Sungei Wang dan Tempoh Siap Setiap Spek
Proses pembuatan kaca mata itu sangat cepat, biasanya setengah jam sehingga 1 jam selesai. Ini berbeza sekali dengan kedai-kedai cermin mata yang lain yang berdekatan kawasan saya. Biasanya tempoh siap mereka kadang-kala sehingga beberapa hari. Antara alasan mereka kerana nak order stok baru, tiada stok dan sebagainya.
Tetapi berbeza sekali di Sungei Wang kerana kebanyakan kedainya dapat siap dengan cepat. Harganya pula sangat berbaloi dan biasanya disebabkan terdapat beberapa kedai, jadi mereka berebut-rebut melakukan promosi. Jadi dapatlah harga yang lebih murah tetapi kualitinya masih dijaga. Kenapa saya kata kualiti masih dijaga? Kerana saya telah menggunakan servis di beberapa kedai tersebut sudah hampir 10 tahun lebih dan kebanyakan spek mata saya dapat bertahan sehingga bertahun-tahun sebelum rosak sama ada sebab saya terpijak atau terjatuh. Jadi dapat disahkan bahawa kaca mata mereka, insya-Allah dapat tahan lama.
Pilihan Frame Kaca Mata di Sungei Wang
Jika anda tiba di Sungei Wang, kedai-kedai kaca mata ini terletak di Aras 1 atau Aras Ground Level. Sebaiknya anda membuat perbandingan harga terlebih dahulu untuk mendapatkan harga yang sesuai dengan citarasa anda, dan juga mungkin untuk anda memilih pilihan orang kata frame kaca mata. Kerana biasanya agak berbeza frame dari satu kedai ke kedai lain. Ada kedai yang lebih cepat, ada kedai yang agak lambat. Agak lambat mereka sangat subjektif kerana sejam bagi mereka itu sudah sangat cepat bagi saya. Bagi saya, berbeza dengan kedai lain, insya-Allah stok kedai mereka sangat bagus.
Frame Kaca Mata Saya Patah dan Perlu Diganti
Dan minggu lepas, frame kaca mata saya tiba-tiba patah. Biasalah, mungkin saya tertidur. Bila saya terbangun, tiba-tiba besi penyambung ke kanta spek tiba-tiba patah. Mahu tidak mahu, saya terpaksa menukar spek. Jadi kebetulan pagi tersebut saya ada urusan yang penting, saya tidak dapat terus datang ke Sungei Wang. Buat sementara waktu, saya menggunakan gam menggunakan Glue Gun untuk menggam sementara bingaki spek itu. Kemudian, setelah selesai urusan pagi itu, saya terus ke Sungei Wang.
Cara Pergi ke Sungei Wang, Kuala Lumpur
Sungei Wang terletak di kawasan Segitiga Emas Bukit Bintang. Anda boleh sampai ke Sungei Wang sama ada menggunakan LRT, MRT, atau bas RapidKL. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan lain seperti Grab dan sebagainya. Tempatnya yang mudah dicapai. Sesampainya saya di sana, saya berjalan ke beberapa kedai dan saya terus bergerak ke kedai yang bernama Eye Smart Vision.
Pengalaman Membeli Frame di Eye Smart Vision Sungei Wang
Saya bertanyakan sama ada ada atau tidak frame yang sesuai dengan kanta saya kerana saya masih sayangkan kanta saya. Jadi saya hanya mahu menukar frame sahaja.
Kemudian pegawai itu memberitahu bahawa harga frame lebih kurang RM 30, dan bagi saya harga itu agak menarik kerana ada sesetengah kedai lain yang menawarkan RM 50. Dan saya juga terus menggunakan langkah yang sama untuk mencari di online seperti di Shopee atau Lazada, ada yang menjual RM35 dan sebagainya tetapi ada lagi kos penghantaran atau mungkin lambat sampai, jadi agak sukar. Jadi saya lebih selesa terus ke kedai di Sungei Wang.
Kemudian pegawai itu mencari-cari dan akhirnya berjumpa dengan satu frame yang agak sesuai dengan kanta saya, warna hitam. Alhamdulillah, saya terus tukar kanta saya dan on-the-spot siap. Saya terus beli dekat Eye smart Vision seperti biasa. Alhamdulillah, saya diberikan bekas penyimpan spek sebagai free gift. Terbaik.
Jenis Kaca Mata yang Berbaloi Dibeli di Sungei Wang
Setelah beberapa tahun pergi ke Sungei Wang ini, saya dapati jika anda ingin membuat spek yang biasa sahaja—apabila saya kata biasa, iaitu spek sama ada rabun jauh sahaja atau rabun dekat, bukannya kedua-dua rabun jauh dan dekat atau astigmatisme—anda boleh lakukan di Sungei Wang kerana harganya memang berpatutan. Jika jenis spek – spek yang lain seperti yang untuk satu kanta yang mempunyai dwi / dua fungsi rabun jauh dan rabun dekat, harganya agak mahal dan, bagi saya harganya tidak jauh beza dengan tempat-tempat lain. Tapi anda boleh cuba bertanya, biasanya agak murah sedikit berbanding tempat yang lain.
Jadi sangat berbaloi kerana jika anda di sini, anda boleh pergi ke tempat lain juga seperti di Lowyat di mana ada banyak perkakasan komputer yang agak murah, atau boleh terus ke Lot 10 atau ke Plaza Imbi untuk mencari barang barang komputer yang lain. Berjaya Time Square dan Paviliion juga terletak berdekatan sangat dengan Sungei Wang. Jadi, anda boleh sambil berurusan di sini, boleh ke tempat lain untuk pelbagai urusan lain.
Servis di Kedai Eye Smart Vision
Di kedai Eye Smart Vision, saya dapati servis mereka baik dan bagus kerana sampai sahaja di kedai situ, pegawai tersebut terus bertanyakan apa yang saya perlukan. Layanan bagus. Bila saya bertanya, mereka menjawab dengan sopan. Bila saya tanya harga, mereka menjawab dengan sopan dan mereka jemput saya duduk seketika sementara mencari barang saya. Servis bagus daripada mereka dan saya sangat syorkan untuk pergi ke kedai Eye Smart Vision. Terdapat pelbagai pilihan spek atau jika anda ingin beli / tukar frame baru atau nak beli kanta sahaja, atau membuat kaca mata hitam atau sebagainya, semuanya ada di sini.
Jangan lupa untuk bandingkan harganya dengan kedai-kedai lain terlebih dahulu untuk mendapatkan harga yang paling menarik! Biasanya saya akan pusing ke kedai – kedai lain, bertanyakan harga dan tempoh siap, dan melihat jenis – jenis bingkai spek sebelum memilih kedai mana yang akan saya pilih. Bagi saya, cara ini lebih berbaloi.
Beberapa tahun lepas, saya juga ada membuat spek baru di sini dan ketika itu pegawai kedai ada menyatakan tentang pelbagai jenis kanta kaca mata. Saya tidak begitu arif dengan jenis-jenis kanta untuk kaca mata, tapi mereka ada menyatakan seperti kanta biasa, kanta silau, kanta pusing, dan sebagainya. Saya hanya pilih kanta biasa sahaja dan bagi saya itu sudah mencukupi. Kerana jika anda menggunakan kanta-kanta yang lain, sudah pasti akan ada penambahan dari segi harga. Tapi jika anda rasa berbaloi, silakan.
Anda boleh menggunakan kanta yang memudahkan pemanduan di siang hari iaitu kanta silau. Terdapat juga kanta mata yang khas untuk orang yang selalu menggunakan komputer . Jadi, kanta khas ini dapat mengurangkan kesakitan mata dengan penggunaan panjang dan pelbagai jenis kanta mata yang lain yang disediakan disini.
Harga Kaca Mata dan Kanta yang Saya Bayar
Dahulu, apabila saya mahu beli spek mata saya, saya membayar hampir RM55. Itu ialah harga spek dan juga harga kanta. Harganya agak murah. Terdapat juga kedai – kedai lain di sekitar kawasan itu yang mempamerkan harga dalam RM 45 untuk membuat spek.
Jika anda ingin menggunakan frame dari kedai yang lain, mungkin anda boleh beli frame di kedai-kedai luar seperti Mr DIY, Kedai EcoShop, atau kedai lain. Apabila anda sudah beli, tinggal buat kanta sahaja di sini. Jadi kalau ada frame anda beli frame kaca mata di kedai luar, anda terus datang nak buat kanta itu mungkin lebih murah. Tetapi, lebih mudah jika anda buat spek, frame dan kanta di tempat yang sama. Jimat masa dan wang ringgit!
Cara Pembayaran di Kedai Kaca Mata Sungei Wang
Bagi cara pembayaran pula, anda boleh membayar secara cash atau QR Code / perbankan dalam talian. Sekarang semua transaksi sudah mudah dan efisien. Di kawasan Sungei Wang juga terdapat pelbagai mesin ATM untuk anda mengeluarkan wang.
Kemudahan Kemudahan Lain di Sungei Wang
Sungei Wang juga menyediakan pelbagai kemudahan lain. Antaranya surau, WiFi percuma, pejabat pos, tempat pertukaran daiper, loker dan tempat cas telefon. Tempar parkit kereta dan motor juga disediakan untuk pengunjung.
Tandas juga disediakan tetapi kebanyakan tandas tidak mempunyai paip air atau hos bidet yang pastinya menyukarkan pengguna Muslim. Biasanya saya akan ke tandas dalam MRT Bukit Bintang yang berdekatan jika ingin membuang air besar kerana tandas dalam MRT mempunyai paip air dan suraunya juga luas. Lokasi tandas MRT tidak begitu jauh dari Sungei Wang, tetapi disebabkan saya menggunakan unlimited day pass MRT, jadi saya tak perlu keluarkan wang tambahan untuk keluar masuk ke stesen MRT, LRT atau Monorail.
Pengalaman Membuat Kaca Mata untuk Emak Saya
Saya juga pernah membawa emak saya untuk membuat kaca mata kerana emak saya merasakan sudah agak pening-pening di bahagian mata. Macam biasalah, mereka akan membuat ujian untuk memeriksa power ataupun kuasa penglihatan emak saya, sama ada rabun jauh, dekat, atau kedua-duanya iaitu dikenali sebagai astigmatisme. Di situ mereka membuat segala ujian di satu bilik gelap khas. Memakai kaca mata khas, di situlah emak saya akan menjawab pelbagai soalan dan masa itu optometris akan mengubah kanta untuk kesesuaian emak saya.
Layanannya sama. Saya buat kaca mata emak saya daripada mereka di situ juga, kalau tak silap saya lebih kurang RM180 atau RM170 harganya. Kerana ada satu kedai itu bagi harga untuk rabun baca dan rabun dekat, dia dah agak mahal pasal dia bergabung dua kanta dalam satu spek. Tapi masih berbaloi bagi saya berbanding dengan kedai-kedai di luar.
Rasanya setakat ini sahaja perkongsian pengalaman saya berkenaan pengalaman membeli spek, membuat spek, membuat kanta di sini. Semoga dapat memberikan manfaat kepada anda semua.