Setiap hujung minggu, saya akan membawa anak-anak saya untuk ke kelas tarannum di Masjid Putra, atau dikenali sebagai Masjid Pink.
Setelah itu, saya akan terus membawa anak-anak saya untuk menjenguk anak sulung saya di asrama berdekatan kawasan Putrajaya.
Seperti biasa, kelas tarannum anak saya bermula lebih kurang pukul 8 pagi, 8.30 pagi atau 9 pagi. Jadi, untuk mengisi masa lapang semasa menunggu 2 jam sebelum habisnya kelas tarannum anak saya, saya bercadang membawa anak saya yang bongsu menjelajah seketika di kawasan berdekatan Masjid Putra.
Masjid Putra ini dibina pada tahun 1996 dan diilhamkan oleh Dr Mahathir bin Muhammad, bekas Perdana Menteri Malaysia. Rekaannya banyak diinspirasikan dari rekaan Isfahan Iran dan Mesir. Jika anda ke sini pada hujung minggu, anda akan melihat ada banyak pelancong yang melawat masjid ini.
Kenapa Saya Pilih Putrajaya Story?
Benda pertama yang terlintas di fikiran saya ialah Putrajaya Story.
Sebelum ini, saya sudah membawa anak-anak saya yang lain ke sini, cuma anak saya yang bongsu sahaja masih belum pernah sampai ke sini. Saya pasti anak bongsu saya ini mesti akan teruja apabila tiba di sini.
Walaupun sudah hampir bertahun – tahun tinggal di kawasan berdekatan Putrajaya, saya jarang terdengar mengenai Putrajaya Story ini. Saya hanya baru mengetahuinya ketika guru kelas anak saya mewar-warkan program cuti sekolah, di mana mereka akan melawat Putrajaya Story dan beberapa tempat yang lain semasa program tersebut.
Setelah saya menyelidiki lebih lanjut, Putrajaya Story ini lebih kurang seperti muzium yang dikhaskan untuk menerangkan mengenai sejarah Putrajaya itu sendiri.
Saya pilih tempat ini kerana pertama, lokasinya yang berdekatan dengan Masjid Putra, iaitu hanya lebih kurang dua minit perjalanan sahaja dengan berjalan kaki dari Masjid Putra ke tempat ini.
Yang kedua, harga tiket kemasukan yang bersesuaian dan tidak begitu mahal, iaitu hanya lebih kurang RM5 untuk orang dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak. Harga ini ialah harga untuk warganegara Malaysia. Harga ini ialah harga diskaun berbanding harga asalnya yang lebih mahal. Untuk bukan warganegara Malaysia / pelancong asing , harganya ialah RM7 untuk orang dewasa dan RM4 untuk kanak – kanak. Saya tidak mengetahui sampai bila promosi ini akan berterusan. Semoga akan terus pada harga promosi ini 🙂
Anda sebenarnya boleh membeli tiket untuk ke Putrajaya Story secara online juga di laman web Souq Putrajaya
Souq Putrajaya dibina dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan DR Group Holdings Sdn Bhd. Di sini, anda juga boleh membeli pelbagai jenis coklat yang menarik.
Tempat – Tempat Menarik Lain di Putrajaya
Sebenarnya, terdapat pelbagai tempat menarik di Putrajaya sendiri dan ini antara salah satu tempat yang saya jarang lawati. Antara tempat-tempat lainnya yang sudah saya lawati dan selalu lawati ialah seperti Taman Cabaran (Challenge Park Putrayajaya), di mana terdapat tempat untuk rock climbing dan bermain rollerblade atau skateboard.
Ada juga tempat seperti Taman Botani yang mempunyai pelbagai keindahan alam, flora dan fauna. Mereka juga mempunyai trampolin, tren dan juga sewaan basikal. Cuma bagi sewaan basikal, harga sewaannya agak mahal berbanding di tempat lain. Dahulu harga sewaan basikalnya agak murah, tetapi tidak tahu lah mengapa sewaan basikal di Taman Botani ini sekarang sudah mahal! Untuk pengetahuan anda, Masjid Putra juga ada menyediakan sewaan basikal pada harga yang agak munasabah juga. Alhamdulillah. Baca lebih lanjut untuk mengetahui mengenai sewaan basikal di Masjid Putra.
Satu lagi tempat seperti Masjid Besi, Taman Saujana Hijau dan pelbagai tempat lain lagi yang sangat menarik untuk dilawati.
Perjalanan Kami ke Masjid Putra dan Putrajaya Story
Kami bertolak seawal 8 pagi kerana kelas tarannum anak saya pada minggu ini bermula lebih kurang pukul 8.30 pagi.
Saya membawa sedikit bekalan untuk anak-anak saya seperti biskut, roti, air kosong, air kotak dan pelbagai makanan ringan yang lain untuk mengisi perut sebelum kelas bermula. Bagi anak bongsu saya, seteguk air coklat panas dan biskut sudah mencukupi untuk sarapannya. Roti kegemaran mereka ialah kek Chiffon perasa Cheese dan Mocha jenama Massimo.
Makanan dan Kedai Berdekatan Masjid Putra
Sebenarnya, di sekitar Masjid Putra terdapat beberapa kedai yang menjual makanan dan minuman.
Antaranya seperti kedai runcit kecil yang terletak betulin – betulin di hadapan Masjid Putra, berdekatan tempat pelancong asing berbaris untuk memasuki Masjid Putra. Mereka menjual pelbagai makanan dan minuman yang ringan. Terdapat juga postcard, keychain, baju dan barang – barang cenderamata yang lain.
Jika anda bergerak ke arah bahagian bawah Masjid Putra, (gunakan tangga atau eskalator di luar Masjid Putra) di situ pun terdapat pelbagai kedai cenderamata. Anda boleh menuruninya melalui eskalator atau tangga yang disediakan. Ada kedai nasi kandar, ada kedai masakan mamak, masakan Melayu, restoran dan kafe seperti OldTown White Coffee, nasi kari kepala ikan, makanan Arab, minimarket kecil, kedai aiskrim, kedai untuk menyewa basikal, Putrajaya Cruise dan taman-taman kecil di bahagian bawah yang membolehkan anda berjoging dan anak anak anda bermain di taman permainan. Kawasan ini dikenali sebagai Souq Putrajaya.
Pelbagai perkara menarik yang anda boleh laksanakan berdekatan Masjid Putra sahaja. Jika anda ingin berjalan jauh sedikit daripada Masjid Putra, terdapat juga beberapa kedai-kedai makan dan restoran mamak yang besar di sekitar Masjid Putra sahaja, tetapi jaraknya lebih kurang dalam 450 meter. Jadi, dari segi aspek makanan, insya-Allah tiada masalah.
Parking di Masjid Putra
Di Masjid Putra, bagi kemudahan parking, sangat banyak, terutama di hadapan Masjid Putra iaitu di Dataran Putra. Untuk pengetahuan anda, Dataran Putra dan Dataran Putrajaya ialah dua tempat yang berbeza. Dataran Putra terletak di hadapan Masjid Putra manakala Dataran Putrajaya terletak berdekatan dengan Kompleks Perbadanan Putrajaya. Dataran Putra terletak di Presint 1 manakala Dataran Putrajaya terletak di Presint 3. Tempat parking jika kawasan sudah penuh, anda boleh bergerak keluar sedikit. Di belakang bangunan Pejabat Perdana Menteri Malaysia terdapat juga parkir di bahagian situ yang bagi saya mungkin boleh memuatkan hampir 50 ke 60 kereta.
Jadi, bagi parking, insya-Allah tiada masalah. Cuma, jika anda mahu parking berdekatan dengan Masjid Putra, jangan double park atau parking sembarangan kerana pihak Perbadanan Putrajaya, iaitu badan kerajaan yang mengawasi keadaan Putrajaya seperti trafik dan lain-lain, mereka sering melakukan operasi di sini. Kadangkala mereka akan berada dalam kereta peronda khas Perbadanan Putrajaya untuk memantau keadaan trafik dan parkir orang di situ.
Jika anda parking sembarangan atau double park, anda akan dikenakan saman.
Jalan Kaki dari Masjid Putra ke Putrajaya Story
Setelah sampai di Masjid Putra, saya menurunkan anak-anak saya di pintu hadapan Masjid Putra dan mereka terus bergerak ke arah bilik kuliah di bahagian bawah Masjid Putra untuk kelas Taranum.
Mereka sudah hampir beberapa bulan mengikuti kelas di sini, jadi insya-Allah tiada masalah bagi mereka. Saya parkir di kawasan berdekatan dan terus bergerak ke arah Putrajaya Story.
Saya tidak melalui bahagian hadapan Masjid Putra, tetapi saya terus bergerak ke arah bahagian bawah Dataran Putra, di mana terdapat taman-taman kecil sedikit di situ, berdekatan dengan Tasik Putrajaya.
Saya menuruni tangga dan terus bergerak menuju ke arah tempat penyewaan basikal. Putrajaya Story terletak berdekatan dengan situ sahaja. Untuk pengetahuan anda, harga untuk penyewaan basikal bagi kanak kanak ialah RM 10 sejam. Bagi dewasa, RM 15 sejam. Syarikat yang menguruskan penyewaan basikal ini ialah ES Advance Concept dan nama kedai itu ialah KL E-Bike.
Apabila menuju ke situ, anda akan melihat satu taman permainan yang kecil, di mana terdapat binaan seperti kapal. Berdekatan situ, terdapat mini market yang menjual aiskrim. Di situlah tempat Putrajaya Story. Kedai aiskrim itu ada menjual aiskrim khas untuk pelajar pada harga RM 2 sahaja! Menarik bukan. Ingat, harga ini hanya untuk kanak kanak sahaja 🙂
Pengalaman Pertama Kali Masuk Ke Putrajaya Story
Pada mulanya, iaitu pada pertama kali saya membawa anak-anak ke Putrajaya Story, saya ingatkan tempat ini seperti muzium coklat ataupun tempat membeli coklat. Ternyata saya salah.
Ia memang tempat khas seperti satu tempat pameran yang menerangkan tentang sejarah Putrajaya itu sendiri. Cuma, memang ada kedai coklat di sebelah Putrajaya Story ini yang menjual pelbagai jenis coklat.
Sesampainya di sana, kami disapa oleh petugas di bahagian kaunter. Petugas itu sangat ramah sekali dan dia ada memberikan pamflet atau risalah mengenai Putrajaya Story dan menyatakan tentang apa sahaja yang ada di sini.
Kemudian beliau mengarahkan saya untuk membuat pembayaran terlebih dahulu di sebelah Putrajaya Story iaitu di kedai coklat itu. Sebenarnya, kedai coklat ini dibina oleh syarikat sama yang membina Putrajaya Story. Jadi ia seolah – olah serampang dua mata dimana anda dapat melihat keindahan Putrajaya dan setelah itu membeli coklat sebagai ole ole. Anda boleh membayar menggunakan cash / tunai ataupun kad debit atau menggunakan e wallet.
Setelah melakukan pembayaran, saya membawa resit pembayaran dan saya terus bawa anak saya menuju ke dalam Putrajaya Story. Pegawai kaunter akan mengesahkan pembayaran saya. Setelah itu, baru kami dibenarkan masuk.
Apabila saya masuk, tempat ini kelihatan sangat menarik. Penggunaan warnanya sangat jelas dan terang sekali. Terdapat pelbagai binaan yang bagi saya sangat menarik. Antaranya ialah terdapat model Putrajaya tersendiri, bangunan Putrajaya dan juga tasik serta River Cruise.
Mula-mula saya ingatkan replika itu biasa biasa sahaja, tetapi rupa – rupanya ia sangat menarik kerana replika itu memang beroperasi dan bergerak sendiri, dengan ada lampu dan pergerakan. Memang sangat menarik sekali. Dan rekabentuk replika yang sangat serupa dengan rekabentuk asal sangat mengujakan sekali.
Anda boleh melihat replika bandar Putrajaya dan menikmati keindahan replikanya seolah olah melihat bandar Putrajaya itu sendiri. Ketelitian pereka replika ini sangat mengagumkan sekali!
Sejarah Putrajaya Yang Dipamerkan
Kemudian, setelah anda berjalan ke depan, anda akan melihat maklumat sejarah bagaimana Putrajaya bila dibina.
Untuk mudah anda fahami, nama asal Putrajaya ialah Prang Besar, di mana sebenarnya Putrajaya ini terletak di bawah Kerajaan Negeri Selangor.
Kemudian, tanah Prang Besar ini diserahkan kepada pihak Persekutuan Malaysia untuk dibangunkan sebagai pusat pentadbiran kerajaan Malaysia dan akhirnya terbinalah Putrajaya.
Oleh itu, jika anda berada di Masjid Putra dan anda melihat ke seberang tasik, anda akan nampak satu bangunan seperti istana kecil. Itu ialah binaan yang dibina oleh kerajaan Malaysia sebagai tanda penghargaan kepada Sultan Selangor yang telah memberikan tanah Selangor untuk dijadikan pusat pentadbiran kerajaan Malaysia, iaitu Putrajaya.
Anda masih boleh melihat terdapat bendera Selangor di kawasan tersebut berkibar dengan megah. Semasa Ramadan tahun lepas, saya selalu mengunjungi Masjid Putra kerana mereka menyediakan makanan percuma setiap hari sepanjang Ramadhan untuk semua pengunjung sama ada warganegara Malaysia atau warga asing. Alhamdulillah. Di tempat saya menikmati juadah berbuka inilah, saya melihat bendera Selangor di bangunan tersebut.
Replika River Cruise, Flora dan Mercu Tanda Putrajaya
Baiklah, berbalik kepada Putrajaya Story. Di situ juga ada disertakan replika River Cruise di Putrajaya, di mana anda boleh mengambil gambar. Ada tempat duduk untuk anda menikmati suasana seperti di dalam bot River Cruise di situ.
Kemudian terdapat juga satu laman flora. Ia adalah signifikan kepada Taman Floria di Putrajaya, di mana mereka selalu mengadakan pesta yang menyajikan pelbagai jenis flora setiap tahun.
Pesta Floria di Putrajaya sangat menarik. Jika anda ada masa, saya cadangkan anda pergi menghadiri pesta Floria ini. Pesta ini sangat menarik sekali.
Terdapat juga kereta antik dan juga belon udara panas. Anda boleh mengambil gambar di situ.
Saya tidak pasti sama ada Putrajaya ada pesta belon udara panas atau tidak. Saya tidak tahu. Mungkin pada masa lalu mungkin ada, tetapi saya tidak pasti. Tetapi memang tak ada ketika saya berada di Putrajaya ini.
Kemudian, anda bergerak lagi. Anda akan melihat Pejabat Perdana Menteri Malaysia lengkap dengan meja, kerusi dan buku-buku. Anda boleh mengambil gambar kenangan disini. Anak saya duduk di kerusi yang disediakan dan berlakon seperti Perdana Menteri Malaysia! Seronok dia…
Satu lagi yang sangat menarik ialah terdapat satu basikal tua, di mana terdapat gambar Tun Dr. Mahathir Mohamad, iaitu Perdana Menteri yang melancarkan projek Putrajaya ini. Anda boleh mengambil gambar berdekatan basikal itu. Tetapi, jangan naik basikal pula, rosak nanti! Hahaha.
Terdapat juga penerangan mengenai Perdana Menteri Malaysia dengan pelbagai gambar semua Perdana Menteri Malaysia di dinding yang lain.
Kawasan Glow-in-the-Dark
Dan bahagian terakhir ialah satu bahagian yang saya selalu panggil kawasan glow-in-the-dark, di mana terdapat lukisan-lukisan di dinding yang menggunakan dakwat khas.
Apabila lukisan itu berada di kawasan gelap, ia akan menghasilkan kesan bercahaya. Gambar dia sangat menarik sekali. Lukisan itu menceritakan tentang Putrajaya. Sangat menarik. Gambarnya sangat menyerlah dan cantik. Ada juga replika-replika seperti kolam ikan dan juga unggas-unggas serta flora dan fauna di situ.
Cuma kawasan sedikit agak gelap di situ. Jadi, jika anda agak takut dengan kawasan gelap, mungkin tidak perlulah terlalu lama berada di situ. Kawasan ini ialah kawasan terakhir dalam perjalanan kita di Putrajaya Story.
Setelah kawasan ini, anda akan terus keluar ke kawasan penjualan coklat iaitu tempat di mana anda bayar untuk membeli tiket di kaunter tadi.
Sepanjang beberapa kali kami ke sini, tidak ada pengawal yang bertugas di bahagian dalam Putrajaya Story. Jangan risau, tempat ini selamat kerana terdapat CCTV di letak di dalamnya. Dan anda dapat dengan bebas mengambil gambar kenangan sepuasnya di sini.
Waktu Operasi Putrajaya Story dan Kawasan Sekitar Putrajaya Story
Untuk melawat Putrajaya Story, ia tidaklah begitu besar seperti muzium-muzium lain. Tetapi bagi anak-anak, bagi saya mereka sangat seronok jika berada di sini.
Sepanjang saya ke sini, saya tidak melihat pelancong-pelancong lain di sini. Kemungkinan besar mereka berada di bahagian atas Masjid Putra, sebelum meneroka kawasan – kawasan lain di bawah Dataran Putra.
Bagi waktu pengoperasian Putrajaya Story ini, mereka buka bermula pukul 9.30 pagi. Jadi, jika anda sudah sampai di sini, anda boleh sarapan sebentar dan kemudian terus ke sini.
Untuk anak-anak pula, lokasinya yang berdekatan dengan taman permainan memudahkan ibu bapa, kerana biasalah kanak-kanak, mereka suka bermain-main dan berjalan ke sana ke sini.Jadi, lengkaplah perjalanan di sini.
Jika anda penat, anda boleh naik ke bahagian atas dan ada kawasan lapang untuk melihat sekeliling Tasik Putrajaya. Bagi anda yang beragama Islam, anda boleh terus ke Masjid Putra untuk berehat dan beribadah sebentar sebelum bergegas ke tempat yang lain.
Reka Bentuk, Kebersihan dan Suasana Putrajaya Story
Bagi saya, reka bentuk binaan Putrajaya Story ini sangat menarik dan mungkin boleh pihak syarikat boleh melaksanakan seperti promosi kepada murid-murid sekolah atau program-program lain yang mungkin dapat memeriahkan lagi tempat ini.
Bagi aspek kebersihan pula, kawasan ini sangat bersih, sangat menarik, sangat selesa dan sesuai untuk semua masyarakat.
Bagi pandangan saya, jika anda ingin mengambil gambar, lebih baik anda pergi di awal pagi semasa tempat ini baru buka. Dengan itu, anda boleh menguasai kawasan ini sepenuhnya dan anda boleh mengambil gambar tanpa risau ada orang lain yang mengganggu kegiatan anda.
Bagi saya, waktu terbaik untuk ke Putrajaya Story, insya-Allah, adalah pada awal pagi.
Anak Saya Sangat Teruja di Putrajaya Story
Anak bongsu saya sangat teruja di sini, di mana dia seronok melihat pelbagai reka bentuk, pelbagai gambar dan pelbagai benda yang boleh dinaiki seperti replika belon air panas Dan kapal.
Dia sangat-sangat teruja sekali. Dia lari ke sana , kesini ingin melihat semua pameran yang disediakan ! Walaupun dia masih kecil, tetapi saya cuba sebaik mungkin untuk menerangkan tentang Putrajaya itu sendiri.
Sepengetahuan saya, kawasan ini sebenarnya ialah ladang kelapa sawit besar sebelum dibangunkan untuk menjadi pusat pentadbiran Malaysia. Kemudian terdapat juga pameran lain berkenaan penerangan bertemakan tentang Perdana Menteri Malaysia sampai sekarang.
Saya cuba menceritakan mengikut kemampuan saya kepada anak saya.Tetapi seperti biasalah, anak-anak yang masih di peringkat tadika ini, mereka lebih fokus kepada permainan dan apa benda yang menarik minat mereka.
Tetapi sekurang-kurangnya, saya tahu cara untuk menerangkan kepada mereka.
Bagi saya pula, pengalaman saya sebagai ibu yang membawa anak saya ke sini, tidaklah begitu penat sangat kerana tempat ini berdekatan dengan Masjid Putra.
Putrajaya Story Sesuai untuk Semua Peringkat Umur
Dan tempat ini paling sesuai untuk semua peringkat umur, sama ada kanak-kanak tadika, sekolah rendah, menengah mahupun dewasa kerana tempat ini menerangkan tentang Putrajaya secara holistik.
Bagi saya lengkap dan faktanya teratur dan anda mungkin hanya mengambil satu jam atau lebih untuk meneroka kesemua tempat ini. Dan seperti biasa, jika anda ke sini, jangan lupa untuk ke tempat-tempat lain di Putrajaya.
Di Putrajaya pelbagai tempat-tempat menarik untuk dilawati. Jadi janganlah hanya ke sini sahaja. Carilah banyak lagi tempat-tempat yang boleh anda lawati di Putrajaya.
Pengalaman Melawat Putrajaya Story Ketika Jerebu
Kebetulan, sewaktu saya mahu membawa anak saya ke sini, Malaysia sedang dilanda jerebu yang bagi saya boleh dikatakan agak teruk sedikit. Semasa saya ke sini, bacaan IPU iaitu Indeks Pencemaran Udara di Putrajaya lebih kurang 120 lebih, jadi memang agak kurang menyenangkan. Jadi, saya membawa pelitup muka untuk anak saya.
Memang pemandangan tidak begitu menarik sedikitlah kerana terdapat bayang-bayang jerebu di kejauhan dan udara pun agak sedikit kurang segar berbanding sebelumnya.
Ya, kita doakan semoga jerebu yang melanda negara kita ini akan segera berakhir dan kita dapat bernafas dengan lebih segar dan tenang secepat mungkin.
Jika anak anak ada menhidap asma, mungkin, saya sarankan untuk menangguhkan terlebih dahulu untuk melawat Putarjaya Story. Jika keadaan jerebu sudah berkurang dan bacaan IPU sudah rendah, barulah melawat ke sini.
Tips Bawa Anak – Anak ke Putrajaya Story
Pastikan anda membawa minuman yang secukupnya untuk anak-anak anda kerana cuaca di sini agak panas di awal tengah hari. Bawa botol-botol air. Kemudian pastikan anda sudah makan sebelum ke sini dan pakai pakaian yang selesa. Banyakkan minimum air kosong.
Pastikan anda memakai pakaian yang tidak terlalu tebal kerana cuaca di Malaysia agak panas. Pakaian yang agak nipis sedikit sangat sesuai. Kena pastikan anda selalu melihat jadual pengoperasian tempat ini. Mana tahu jika ditutup atau tidak. Jadi, janganlah anda membuang masa ke sini jika tempat ini tidak beroperasi.
Sebenarnya, anak saya telah mengetahui tentang perkara ini melalui sekolahnya, di mana seperti yang saya katakan, pihak sekolah akan mengadakan lawatan ke Putrajaya Story dan beberapa tempat lain nanti.
Jadi saya beritahu, “Tak mengapa, nanti Ibu akan membawa korang semua ke sini.” Jadi anak saya pun teruja. Sebab itu saya mahu membawa anak saya ke tempat ini pada hujung minggu lepas.
Putrajaya Story Berbaloi Tak untuk Kanak-Kanak?
Bagi saya, Putrajaya Story memang sesuai untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Parking yang senang, harga tiket yang berpatutan dan waktu operasi yang sesuai. Tempat ini menyajikan sejarah Putrajaya dalam bentuk yang grafik dan menyeronokkan sekali. Bagi yang dewasa juga banyak juga anda dapat pelajari nanti. Memang berbaloi untuk anak-anak Dan seisi keluarga.
Semoga kita berjumpa lagi nanti di masa-masa akan datang.
Sekian, terima kasih.