Pada 19 September yang lepas, saya mengikuti kursus DIY soket elektrik di Kolej Komuniti Hulu Langat.
Ini ialah kursus pertama yang saya ikuti pada tahun 2026 ini. Kursus ini dilaksanakan di bawah program Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah seliaan Kolej Komuniti Hulu Langat.
Saya mula terbaca mengenai kursus-kursus di Kolej Komuniti Hulu Langat ini pada beberapa tahun yang lepas, tetapi disebabkan kekangan masa, saya tidak dapat menyertai program-program yang mereka dianjurkan. Pihak Kolej Komuniti Hulu Langat ini sangat aktif menganjurkan pelbagai program-program pembelajaran, terutamanya untuk orang dewasa yang sudah bekerja. Bagi saya, ia sesuatu yang sangat bagus sekali kerana ia dapat meningkatkan dan menambahbaikkan kemahiran yang kita sedia ada.
Saya tertarik dengan beberapa kursus yang mereka tawarkan.
Antaranya ialah kursus membaiki telefon, kursus perniagaan, kursus DIY (Do It Yourself) soket elektrik dan pelbagai lagi. Tetapi disebabkan kursus membaiki telefon dan kursus DIY soket elektrik dilaksanakan pada tarikh dan waktu yang sama, saya dengan sedih sekali terpaksa memilih salah satu sahaja daripadanya. Dan bagi saya, buat masa ini kursus DIY soket elektrik adalah yang paling penting untuk saya ketahui.
Saya sedikit trauma dengan hal-hal yang berkaitan dengan elektrik, jadi ilmu yang saya akan dapati di kursus ini sangat berguna sekali untuk saya dan keluarga saya.
Setelah mengetahui iklan mengenai kursus ini, saya terus menghubungi pihak yang terlibat.
Saya mengambil nombor telefon pegawai tersebut dan WhatsApp terus kepada beliau. Selang sehari, beliau menghubungi saya melalui WhatsApp dan menghantarkan tatacara pembayaran dan pelbagai maklumat yang lain. Pembayaran untuk kursus ini boleh saya katakan sangat murah sekali, hanya RM 5 sahaja. Jika program yang sama dilakukan oleh pihak swasta, saya rasa yurannya akan lebih besar sekali. Bagi saya, RM5 ini sangat sesuai untuk semua masyarakat awam dalam menambahkan ilmu mereka.
Saya begitu bersyukur sekali kerana pihak Kolej Komuniti telah melaksanakan program ini pada harga yang sangat-sangat berpatutan.
Sistem pembayaran untuk kursus ini dilaksanakan secara online iaitu melalui sistem pembayaran Kolej Komuniti I Payments. Saya perlu ke laman web mereka dan sign up / daftar. Kemudian saya daftarkan e-mel, nama dan maklumat saya untuk proses seterusnya.
Setelah itu, saya memilih Kolej Komuniti Hulu Langat dan tandakan kursus yang ingin diikuti dan kemudian melaksanakan pembayaran secara atas talian. Kemudian, saya harus muat turun / download resit rasmi daripada Kolej Komuniti Hulu Langat yang disediakan secara automatik setelah kita membuat bayaran. Resit rasmi inilah yang harus saya hantar kepada pegawai administrasi tersebut untuk mengesahkan penyertaan saya semasa program itu akan berlangsung nanti.
Kursus yang saya akan hadiri ini dilaksanakan selama 2 jam sahaja. Ia bermula daripada pukul 2 petang sehingga 4 petang. Ia menerangkan mengenai panduan praktikal asas untuk semua, di mana akan terdapat sedikit aktiviti praktikal dan juga penerangan yang agak ringkas tetapi bagi saya sudah mencukupi.
Mereka akan mengajarkan empat bahagian. Bahagian pertama mengenai keselamatan elektrik, bahagian kedua mengenai alat dan kod-kod warna di dalam soket elektrik, bahagian ketiga ialah amali pemasangan soket elektrik dan bahagian keempat mengenai pengujian pemasangan.
Kenapa Saya Tertarik Mengikuti Kursus DIY Soket Elektrik?
Seperti yang saya katakan tadi, saya ingin menambahkan ilmu saya mengenai elektrik.Saya ingin menghilangkan trauma saya mengenai bahaya elektrik dengan belajar daripada pensyarah yang bertauliah yang arif mengenai bidang elektrik ini. Saya juga dapat menjimatkan sedikit wang dengan membaiki sendiri jika soket-soket saya rosak atau suis rosak berbanding memanggil orang lain untuk melakukannya.
Yang terakhir, saya boleh mengajarkan ilmu ini kepada anak-anak dan saudara-saudara saya di kemudian hari, insyaAllah.
Sebelum mengikuti kursus elektrik ini, saya memang tidak mengetahui sama sekali mengenai elektrik. Saya pernah melihat orang menukar plug dan memasang soket elektrik, tetapi saya tidak ada keberanian untuk mencubanya. Bagi saya, bidang elektrik sangat-sangat mengerikan.
Saya memang tidak pernah buat kerja elektrik sama sekali sebelum ini. Saya berharap setelah kursus selesai, paling kurang saya dapat mendekati bidang elektrik dan memasang soket itu sendiri kelak. InsyaAllah.
Apa Itu Kursus DIY Soket di Kolej Komuniti Hulu Langat?
Kolej Komuniti Hulu Langat ialah salah satu kolej komuniti yang terdapat di Malaysia secara amnya dan di Selangor khasnya. Setahu saya, ada juga kolej komuniti seperti Kolej Komuniti Selayang yang lebih fokus kepada bidang seperti teknologi seni game (game animation), perniagaan, kulinari, bakeri,fesyen, hotel dan pemakanan dan rekaan dalaman.
Bagi Kolej Komuniti Hulu Langat pula, saya tidak seberapa arif tentang bidang pengajian mereka, tetapi saya ternampak terdapat proses pengajaran dalam bidang seperti teknologi maklumat, perniagaan dan juga bidang teknologi penyejukan dan penyaman udara.
Lokasi Kolej Komuniti ini terletak di Prima Saujana, Kajang. Jika anda biasa pergi ke Giant Prima Saujana, di situlah terletaknya Kolej Komuniti Hulu Langat. Sekarang Giant Prima Saujana Kajang sudah tiada dan telah digantikan dengan Econsave Prima Saujana. Letaknya tempat ini betul-betul di sebelah Econsave Prima Saujana Kajang.
Ini ialah alamat penuh Kolej Komuniti Hulu Langat: Jalan Prima Saujana 2/G, Taman Prima Saujana 43000 Kajang, Selangor dan ini ialah nombor telefon yang boleh dihubungi 0387370037
Saya juga difahamkan setelah berakhirnya kursus ini, setiap pelajar akan mendapat sijil, iaitu sijil yang akan dihantarkan melalui e-mel atau WhatsApp kepada setiap pelajar. Maka setiap pelajar digalakkan untuk melengkapkan maklumat diri mereka di laman web kolej I Payments di Kolej Komuniti Hulu Langat supaya maklumat mereka tepat dan terkini.
Siapa Sahaja Yang Boleh Menyertai Kursus Ini?
Seperti yang dimaklumkan di dalam hantaran media sosial di Facebook rasmi Kolej Komuniti Hulu Langat, kursus DIY soket elektrik ini terbuka kepada pelajar / orang awam yang berusia13 tahun dan ke atas.
Tetapi semasa saya menghadiri kursus ini pada 19 September lepas, pelajar semuda 12 tahun juga dibenarkan untuk menghadiri kursus ini. Alhamdulillah, mereka dapat pendedahan sejak awal lagi. Tetapi pensyarah selalu menjelaskan kepada pelajar muda ini bahawa ini sekadar ilmu sahaja. Jangan praktikkan di rumah, kerana mereka masih muda. Jika ingin buat sesuatu, tanya pada orang yang dewasa terlebih dahulu.
Pengalaman Saya Pada Hari Kejadian
Ketika hari pelaksanaan kursus ini pada 19 September yang lepas, saya sebenarnya mempunyai program lain di kawasan saya, iaitu program sambutan Maulidur Rasul.
Saya tiba di kolej ini lebih kurang pukul 1.45 tengah hari. Di dalam perjalanan, saya berhenti untuk solat Zuhur di Surau Ar Raudhah, surau jumaat di Prima Saujana. Setibanya saya di KK Hulu Langat, saya dapati terdapat ramai pengunjung yang menghadiri kolej ini kerana pada waktu yang sama pihak kolej menganjurkan program Karnival Variasi Pembelajaran Sepanjang Hayat di mana mereka melaksanakan program seperti Hari Terbuka Kolej Komuniti.
Terdapat pelbagai program dan kursus-kursus khas untuk orang awam. Selain itu, terdapat juga persembahan daripada artis, tidak salah saya ketika itu artis Wany Hasrita dijemput untuk menyanyikan lagu dan memeriahkan majlis. Kemudian, terdapat juga pameran daripada Jabatan Pertahanan Awam dan juga terdapat pihak industri yang hadir untuk memberikan penerangan tentang peluang-peluang kerjaya bagi pelajar-pelajar di kolej komuniti dan pelbagai juga tempat bermain untuk kanak-kanak. Suasananya sangat meriah sekali.
Setibanya saya di sana, saya melihat program soket elektrik saya ini akan dilaksanakan di bilik kuliah 6. Saya mendekati bilik tersebut, tetapi tidak ada kelibat pelajar-pelajar lain atau tenaga pengajar.
Saya menunggu di kawasan tersebut sehingga hampir pukul dua petang. Kemudian, seorang pegawai membawa barang-barang elektrik dan barang elektrik yang lain. Saya terus mengikuti beliau dan ternyata memang beliau adalah tenaga pengajar yang mengendalikan kursus DIY Soket Elektrik pada hari itu. Saya terus masuk dan duduk di dalam bilik kuliah itu.
Saya boleh gambarkan bilik kuliah itu bukan seperti bilik kuliah di universiti yang agak besar. Ia lebih kepada makmal-makmal kecil untuk bidang elektrik, di mana ia mungkin boleh memuatkan lebih kurang 12 atau 13 orang pada saya kerana ia hanya mempunyai dua atau tiga meja besar, di mana setiap meja boleh ditempati oleh lebih kurang lima ke enam pelajar sahaja.
Tetapi ia sudah memadai kerana jumlah pelajar yang saya lihat hadir pada hari itu hanyalah lebih kurang 13 orang.
Apabila saya berada di sana, ada seorang pegawai administrasi yang memberikan senarai nama untuk saya tandakan kehadiran.Rupanya pegawai itu ialah bos kepada pensyarah kita kali ini 🙂 Saya hanya tahu mengenainya setelah pensyarah yang akan memebrikan ceramah memberitahu kami mengenai beliau.
Kemudian pegawai itu juga ada menanyakan sama ada setiap peserta sudah melakukan pembayaran atau tidak. Setelah selesai semua itu, tenaga pengajar mula memperkenalkan dirinya. Pensyarah yang mengajar kami pada hari itu ialah Tuan Mohd Nashmal Mohamad Rozee
Penerangan Daripada Tuan Mohd Nashmal
Tuan Mohd Nashmal memberitahu bahawa dia ialah bekas pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan bidang pengajiannya di universiti ialah Electrical Engineering dan di kolej komuniti beliau mengajar bidang elektrik dan fokusnya kepada bidang aircond atau penyaman udara.
Tuan Mohd Nashmal memberikan kami nota ringkas mengenai kursus DIY soket elektrik di mana terdapat pelbagai jenis info untuk panduan kami sepanjang kursus ini dilaksanakan. Kemudian beliau mula menerangkan mengenai jenis-jenis soket.
Ada pelajar yagn menanyakan tentang definisi soket daripada peserta dan sebagainya. Beliau juga menerangkan bahawa terdapat dua jenis soket, iaitu yang biasa kita guna di rumah itu ialah soket biasa di mana terdapat hanya 13 amp sahaja. Untuk aircond terdapat soket yang mempunyai terminal khas untuk penyaman udara dan seharusnya arusnya ialah 15 amp.
Kemudiannya beliau menerangkan tentang DB, distribution box, ELCB, RCCB dan banyak lagi.
Beliau menyatakan bahawa jika distribution box kita lebih daripada 10 tahun, digalakkan untuk tukar kerana ia akan lebih sensitif. Maksudnya apa, jika ada kilat yang agak kuat sedikit, kemungkinan trip elektrik akan berlaku di rumah kita . Elektrik akan mati kerana sistem distribution box menganggap arus terlampau tinggi.
Beliau menggalakkan kita untuk tukar distribution box jika lebih 10 tahun, tetapi jika tiada masalah, boleh sahaja ia dikekalkan.
Kemudian beliau juga ada menceritakan jika ada trip elektrik berlaku di rumah kita. Perkara pertama yang kita perlu buat ialah matikan suis utama di distribution box. Jangan terus menarik mangsa yang terkena renjatan elektrik kerana kita akan terkena renjatan elektrik yang sama juga.
Kemudian dia ada bertanyakan soalan, bagaimana jika distribution box pula terbakar? Jika perkara itu berlaku, terus tolakkan suis warna hitam di luar rumah kita untuk memutuskan arus elektrik.
Beliau juga ada menasihatkan kepada pelajar supaya jika kita menyeterika baju di rumah, digalakkan untuk memakai selipar getah kerana ia dapat mengelakkan renjatan yang teruk jika berlaku masalah kebocoran elektrik.
Kemudian, beliau menerangkan mengenai kod-kod tertentu di dalam distribution box .Kod C10 itu untuk lampu-lampu, kemudian C16 itu untuk elektrik di ruang tamu, C20 untuk peralatan di dapur dan C32 untuk kotak elektrik di penyaman udara.
Jika berlaku trip elektrik di rumah kita dan kita tidak mengetahui apa puncanya, kita boleh matikan suis utama di distribution box. Kemudian kita naikkan suis yang mempunyai nombor yang rendah. Dari situ kita boleh mengetahui puncanya dan kita akan mudah untuk menyelesaikan masalahnya.
Jika kita tidak mengetahui bahagian mana yang rosak, kita boleh terus tukar suis tersebut atau panggil pakar atau personel elektrik untuk melaksanakannya.
Beliau juga meneruskan perkongsian dengan mengatakan bahawa logam ialah pengalir elektrik yang sangat bagus, jadi agak berbahaya jika kita menyentuh wayar elektrik dengan tangan kosong. Beliau mencadangkan untuk menggunakan sarung tangan khas. Biasanya jika kita ke MR.DIY, terdapat satu sarung tangan khas untuk kerja-kerja elektrikal yang praktikal dan selamat untuk kita gunakan.
Beliau juga ada menyatakan bahawa jangan sembarangan menyentuh bahagian distribution box tersebut kerana beliau menunjukkan dengan menggunakan test pen bahawa barang-barang tersebut masih mengalirkan elektrik. Kita mungkin akan terkena renjatan elektrik jika menyentuhnya juga.
Beliau juga ada menceritakan pengalamannya pergi ke bangunan SIRIM di bahagian Quality Control di SIRIM. Pihak SIRIM menyatakan bahawa untuk setiap soket elektrik yang mempunyai logo SIRIM, mereka akan melakukan ujian ke atas soket itu sehingga 15 000 kali. Setelah itu, barulah mereka mengesahkan sama ada soket tersebut boleh digunakan atau tidak, selamat atau tidak!
Kesimpulannya, beliau menggalakkan kita menggunakan barangan yang mempunyai pengiktirafan SIRIM sebelum membuat sesuatu. Itu lebih selamat dan terjamin.
Kemudian, beliau ada mencadangkan untuk mendapatkan test pen yang agak berkualiti untuk memudahkan kita mengesan sebarang kebocoran arus elektrik. Dan pastikan test pen itu mempunyai logo SIRIM.
Jika kita mendengar bunyi elektrik seperti berdengung di dalam soket elektrik, maksudnya suis soket dalam soket itu telah longgar ataupun rosak. Jika soket itu panas pula, itu menunjukkan soket tersebut bermasalah. Jadi kita digalakkan untuk tukar sama ada suis atau soket tersebut kepada yang baharu. Jika warna soket pula telah bertukar kepada kuning, digalakkan untuk tukar ke soket yang baru.
Kemudian, ada pelajar yang menanyakan tentang berapa banyak soket yang kita boleh gunakan di setiap satu litar elektrik.
Beliau menjelaskan formula yang digunakan untuk menentukannya ialah : P = (I)(V). P merujuk kepada kuasa, I merujuk kepada arus, V merujuk kepada voltan. Arus maksimum untuk setiap soket ialah 13 Amp.
Jadi, jika kita ingin mengira berapa maksimum arus satu soket boleh bawa, 13 Amp didarabkan dengan 240 volt, iaitu 3,120 watt.Voltan rumah di Malaysia sama iaitu 240 volt, jadi P=IV ialah 3,120 watt.
Jadi beliau menggalakkan untuk kita selalu melihat watt barang elektrik. Tengok label di situ kerana di situ ada menerangkan berapa banyak watt yang boleh digunakan. Jadi kita tambah-tambahlah bilangan watt itu supaya ia tidak melebihi 3,120 watt.
Tuan Mohd Nashmal juga ada menerangkan mengenai jenis litar gelang dan litar jejari.
Saya juga ada bertanya mengenai rakan saya yang menambahkan soket baru daripada soket di rumah saya dan menambahkannya sehingga tiga soket baru secara sebelah bersebelahan. Beliau menyatakan bahawa itu dipanggil litar jejari dan digalakkan hanya tambah satu sahaja daripada soket asal.
Beliau menerangkan persoalan mengenai tindakan yang menambah sehingga tiga soket baru di ruang tamu, jawapan beliau ialah insya-Allah tiada masalah kerana ruang tamu biasanya tidak menggunakan jumlah arus elektrik yang begitu besar. Barang-barang seperti modem, telefon, televisyen biasanya tidak menggunakan arus elektrik yang terbesar. Jadi tiada masalah di ruang tamu.
Jika kita melakukannya di ruang dapur, ia sangat tidak digalakkan untuk lebih daripada satu soket tambahan ditambah kepada soket yang sedia ada kerana seperti yang kita maklum bahawa peralatan elektrik di dapur menggunakan arus elektrik yang besar.
Keselamatan Elektrik Sangat Ditekankan
Tuan Mohd sangat memfokuskan kepada keselamatan penggunaan elektrik, di mana beliau selalu menggalakkan teknik yang betul sebelum melaksanakan sebarang kerja elektrik.
Antaranya ialah seperti menggunakan peralatan yang bersesuaian dan selamat. Selain itu, jangan sentuh wayar terbuka dengan tangan basah kerana tangan kita ialah pengalir elektrik yang bagus. Air dan minyak juga ialah pengalir elektrik yang bagus. Jadi sentiasalah pakai sarung tangan khas yang digunakan untuk kerja kerja elektrikal dan kasut keselamatan semasa menggunakan atau melaksanakan sebarang kerja-kerja elektrik di rumah.
Jika kerja elektrikal itu menggunakan atau melibatkan benda-benda yang kompleks, kita digalakkan untuk menggunakan pekerja elektrikal yang profesional.
Mengenali Jenis-Jenis Wayar Elektrik
Bagi asas pengetahuan asas elektrik, beliau ada menerangkan tentang jenis-jenis wayar. Terdapat tiga jenis wayar, iaitu wayar neutral (N), kemudian wayar live (L) yang membekalkan arus elektrik dan yang terakhir ialah wayar bumi (E) yang melindungi daripada kebocoran arus elektrik.
Setiap wayar ini mempunyai peranan masing-masing.
Sebelum memasukkan wayar ke dalam soket, pastikan kita melihat pada label-labelnya sendiri dan setiap soket di Malaysia telah ditandakan dengan tanda-tanda tersebut. Jadi mudahlah untuk kita mengesan dan pastikan jenis-jenis wayar di tempat masing-masing.
Beliau ada menyatakan bahawa untuk wayar live biasanya warna wayar ialah merah atau coklat. Wayar neutral pula berwarna hitam atau biru. Manakla wayar bumi warnanya hijau atau kuning.
Bahagian Amali Pemasangan Soket Elektrik
Bahagian yang ditunggu telah tiba, iaitu cara pemasangan soket elektrik.
Setiap pelajar dibekalkan dengan wire stripper. Peralatan ini ialah satu jenis semacam gunting khas yang mana kita boleh memotong kulit wayar sedikit sahaja untuk mendapatkan wayar yang diperlukan. Kemudian dengan wire stripper kita boleh membuka kulit wayar itu dan mengeluarkan bahagian tembaga untuk menyambungkan wayar itu di dalam soket tersebut.
Kemudian kami juga disediakan dengan test pen dan juga peralatan tambahan yang lain. Menurut Tuan Mohd, cara pemasangan elektrik terbahagi kepada 5 langkah.
Yang pertama, matikan bekalan elektrik di bahagian utama iaitu di distribution box. Pastikan bekalan elektrik di sini dimatikan untuk mengelakkan sebarang renjatan elektrik berlaku.
Yang kedua, keluarkan plug soket lama jika ada kerana jika kita ingin menggantikan dengan soket yang baru. Apabila kita membeli penutup soket yang baru, pastikan kita membeli produk soket yang mempunyai tanda label SIRIM dan beli di tempat-tempat yang dikenali ramai seperti mungkin hardware yang terkenal ataupun tempat membeli yang terkenal seperti MR.DIY dan lain-lain lagi.
Kemudian sambungkan wayar live, neutral dan bumi ke terminal yang betul. Semasa menyambungkan wayar tersebut, pastikan semua wayar atau besi-besi kecil di dalamnya masuk sepenuhnya ke dalam ruang terminal masing – masing. Jangan strip atau jangan keluarkan bahagian besi-besi itu terlalu banyak. Keluarkan secukupnya sahaja untuk memasuki ruang terminal.
Setelah itu, tutup soket, pasang kepala soket dan penutupnya, dan uji soket menggunakan penguji elektrik. Jangan risau, di dalam kursus ini pihak penganjur akan menguji soket yang telah kita laksanakan.
Sepanjang latihan kami semua di situ, terdapat beberapa pelajar yang soket mereka tidak dapat menyalakan mentol apabila pihak penganjur menyambungkan soket itu kepada mentol. Setelah dikaji oleh pensyarah, rupa – rupanya mentol itu tidak menyala kerana soket itu tidak mempunyai kapasitor. Patutla tidak menyala.
Fungsi kapasitor ini lebih kepada untuk mematikan arus jika ia sampai ke tahap arus elektrik tinggi yang tertentu. Jadi secara amnya, fungsi kapasitor ini untuk menjamin keselamatan pada perlatan elektrik kita. Jadi setelah menggantikan soket yang baru yang mempunyai kapasitor yang betul, akhirnya soket tersebut dapat menyalakan mentol.
Terdapat juga peserta yang soket mereka trip. Setelah dilihat dan diteliti oleh tenaga pengajar, barulah didapati bahawa terdapat wayar yang terkeluar sedikit sahaja dari terminal soket. Itu pun boleh menyebabkan trip.
Jadi tenaga pengajar menyatakan bahawa untuk menyebabkan trip, benda seperti itu pun akan menyebabkan renjatan elektrik. Jadi kita harus berhati-hati dan ikut langkah yang sesuai untuk setiap kerja elektrik.
Alhamdulillah, soket yang saya pasang, telah berjaya menyalakan mentol dengan jayanya.
Walaupun pada mulanya saya strip wayar terlalu banyak sehingga susah hendak dimasukkan ke dalam terminal tersebut. Jadi saya terpaksa guntingkan wayar itu dan menyesuaikan kepanjangannya dengan kepanjangan ruang terminal untuk mendapatkan hasil yang kemas dan selamat.
Setiap peserta yang menguji soket mereka akan diambil video sebagai tanda bukti bahawa mereka telah berjaya menjalankan kursus ini dengan jayanya. Oleh sebab kekangan waktu, terdapat juga para pelajar yang tidak dapat test soket mereka.
Pengalaman Saya Selepas Mengikuti Kursus
Secara keseluruhannya, saya sangat seronok menghadiri kursus ini dan saya berharap mungkin pada masa akan datang akan ada lagi kursus- kursus sepert ini, mungkin pemasangan barang elektrik atau pemasangan kipas atau lampu kalimantang, dan benda-benda elektrikal yang lain.
Ia mungkin dapat menjimatkan sedikit wang untuk servis sendiri soket yang rosak di rumah dan juga saya dapat menambah pengetahuan am daripada tenaga pengajar yang bertauliah kerana saya lebih selesa menghadiri kelas yang diajarkan oleh tenaga pengajar di kolej kerana saya tahu kredibiliti mereka.
Insya-Allah ilmu yang diajar pastinya berkesan dan ada kredibiliti.
Bahagian Paling Menarik Sepanjang Kursus
Antara bahagian yang paling menarik sepanjang kursus ini ialah semestinya bahagian amali pemasangan soket yang pada mulanya saya ingat hanya penerangan ringkas dan penceritaan mengenai sesuatu, tetapi mereka pergi jauh lebih daripada itu untuk membenarkan belajar membuat amali pemasangan soket.
Amali pemasangan soket itu sangat-sangat bermakna kerana saya dapat ilmu dan juga saya dapat pengalaman lain secara live / langsung di situ.
Apa Yang Saya Rasa Selepas Berjaya Menyiapkan Amali Soket Ini ?
Apa yang saya rasa selepas berjaya menyiapkan kerja, semestinya saya rasa begitu puas dan saya yakin dan saya rasa sangat teruja.
Pada mulanya berurusan dengan elektrik ini agak susah sangat, tetapi setelah dapat ilmu dari sumber yang betul, akhirnya saya dapat melaksanakan dengan jayanya dan terbukti tenaga pengajar juga menyatakan kepada saya,bahawa hasil kerja saya agak kemas, bagus dan memang litar berjalan dengan baik. Mentol juga turut menyala. Alhamdulillah.
Adakah Kursus DIY Soket Sesuai Untuk Pelajar Yang Berumur 13 Tahun Ke Atas?
Bagi saya, kursus ini sangat sesuai untuk remaja dan orang dewasa kerana kemahiran yang diajar tidaklah begitu kompleks dan dapat difahami oleh setiap lapisan masyarakat.
Dan ia sangat sesuai bagi mereka yang baru mula belajar elektrik. Cara-cara pensyarah itu menerangkan setiap konsep, setiap amali, setiap langkah keselamatan sangat jelas, teratur dan memberi ruang kepada setiap pelajar untuk bertanyakan soalan jika tidak memahaminya.
Dan saya dapat rasakan semangat pensyarah ketika menyampaikan ilmunya nampak sangat tinggi dan ikhlas dalam membantu setiap pelajar. Walaupun yurannya hanya RM5, saya rasa ilmunya sangat-sangat bernilai sekali. Terima kasih Tuan Mohd Nashmal.
Apakah Kelebihan Yang Saya Dapat Daripada Kursus Ini?
Saya dapat pengalaman hands-on itu, praktikal tentang cara pemasangan yang betul dan diajar tenaga pengajar bertauliah dan lebih mengenali kerja-kerja elektrik seperti nama wayar, soket, warna wayar, arus maksimum yang boleh dikenakan terhadap soket, teknik-teknik elektrik yang betul dan peralatan yang betul.
Semua itu sangat-sangat bernilai untuk saya kerana ini pertama kali saya mengikuti kursus ini.
Bagi saya, pengalaman yang saya perolehi sangat berharga dan semoga di masa akan datang, akan lebih banyak program akan ditawarkan kepada masyarakat.
Apa Yang Saya Rasa Boleh Diperbaiki?
Bagi saya, teknik pengajaran dan ilmu yang diajar serta fasiliti yang disediakan di Kolej Komuniti Hulu Langat ini semua sangat-sangat bagus.
Tetapi saya rasa mungkin kursus tersebut boleh ditambahkan masa daripada dua jam ke tiga atau empat jam. Bagi saya, masa yang diberikan mencukupi, tetapi kalau ditambah ke tiga atau empat jam, mungkin pelajar dapat belajar dengan lebih lengkap lagi dan mungkin lebih banyak ilmu lagi yang dapat dikongsikan oleh pensyarah.
Tetapi saya memahami perkara ini kerana kursus ini diadakan serentak dengan program Hari Terbuka Kolej Komuniti ini. Semestinya dua jam sudah memadai, tetapi mungkin pada masa akan datang jika ada program khas, mungkin bolehlah dilaksanakan dari pagi sampai petang.
Pensyarah juga ada menyatakan bahawa memang ada program yang berlangsung dari pagi dan petang yang lebih lengkap, tetapi kursus tersebut lebih lengkap dan lebih terperinci.
Mungkin kursus itu akan diadakan mengikut permintaan , kesediaan waktu dan kesediaan pensyarah untuk mengajar.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, setiap masyarakat haruslah menambahkan ilmu mereka, memperbaharui dan memantapkan kemahiran dengan menyertai pelbagai kursus yang dianjurkan sama ada oleh kerajaan atau pihak swasta yang mungkin dapat membantu kita pada masa hadapan dan mungkin juga mencipta peluang perniagaan yang baru.
Saya dapati terdapat juga pelbagai program program seperti jahitan tote bag, jahitan baju dan pelbagai kursus lain dan sebagainya diadakan disini. Baguslah pihak kerajaan melaksanakan program seperti ini dan semoga berterusan pada masa-masa akan datang.
Semoga bermanfaat.